Wacana bersama HT : Bersama fikrah damai, tolak kezaliman Umno!

Nota Kecil | Lebih kurang sejam juga, saya menemani Ustaz Wan Ji Wan Husin (blogger al-Bakistani) berwacana dengan dua cendekiawan Hizbu at-Tahrir (HT) petang semalam di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

HT diwakili oleh Prof. Dr. Muhammad (pakar kimia di Universiti Malaya) dan seorang Ustaz yang saya terlupa namanya.

Banyak perkara yang diperbincangkan. Antara yang menarik perhatian saya adalah perjuangan HT menolak apa jua sistem bernegara yang tidak diwahyukan Allah atau tidak dipusakakan oleh Rasulullah s.a.w.

Menurut Dr. Muhammad, HT menolak sistem demokrasi kerana sistem tersebut datangnya dari cendekiawa Kuffar.

Tidak cukup dengan itu, Dr. Muhammad turut menganggap kerjasama politik (tahalluf siyasi) PAS dengan pemimpin Kafir sama ada dari parti kawanan PKR atau pun Dap adalah tidak syar’i dan ditolak di sisi Islam.

Banyak juga penjelasan Ustaz Wan Ji. InsyaAllah, rakamannya sama-sama kita nantikan kemudia kerana juruvideo HT, Zakuan berjanji untuk memberi rakaman bermakna itu dalam masa terdekat.

InsyaAllah, saya akan mencadangkan kepada Ustaz Wanji supaya memuat naik rakaman itu dalam Youtube untuk wacana maya kelak.

Pendapat Dr. Muhammad itu sebenarnya menarik perhatian saya. Pertama, beliau seorang yang lunak dalam percakapan.

Kedua, beliau membuktikan kepada saya bahaya pemimpin HT juga sebenarnya bersikap terbuka seperti pemimpin PAS; bukannya seperti segelintir segelintir facebooker yang emosional apabila berwacana tentang  ’Demokrasi & Islam’.

“Tadi, Dr. ada menyebut bahawa pegangan HT berpijak pada al-Quran dan as-Sunnah, Dr. juga ada menyebut yang kerjasama pemimpin Islam dan Kafir itu adalah salah…”

“…dalam sirah, Rasulullah s.a.w tidak bekerjasama dengan non-Muslim dari DAP atau PKR, Rasulullah s.a.w bekerjasama dengan tiga puak Yahudi (Quraizah, Qainuqa’ & Nadhir)….”

“…soalan saya, bagaimana HT atau Dr. sendiri boleh menganggap tahalluf siyasi PAS dan DAP-PKR itu sesuatu yang salah sedangkan Rasulullah melakukan lebih dari itu waktu memeterai Sahifah Madinah serta mendapatkan masdaqiyyah ijtima’iyyah (mandat sosial),” soal saya kepada dua wakil HT tersebut.

Menjawab persoalan itu, beliau mengatakan bahawa politik Pas perlu kembali pada jalan yang ditujukkan oleh Rasulullah s.a.w, bukan dengan beriltizam dengan sistem demokrasi yang sekular.

Katanya lagi, lebih afdhal sebenarnya kerjasama dengan pemimpin Islam lalu melaksanakan khilafah Islamiah dan undang-undang Hudud.

“Sekiranya Pas bekerjasama politik dengan Umno, sebenarnya sudah membolehkan Islam memerintah, melaksanakan khilafah dan hudud.”

Jawapan saya mudah.

Islam sendiri tidak mengajar kita kerjasama politik atas nama pemimpim-pemimpin Islam dalam memanjangkan kezaliman.

“Mana boleh kerjasama dengan Umno, Umno zalim…” ujar saya.

Firman Allah yang bermaksud, “Jangan  kamu cendrung pada orang-orang yang berlaku zalim, kelak kamu akan dibakar api neraka…” (11:113)

Yang Islam ajar, kata saya, kerjasama untuk menolak kemudharatan serta menghimpunkan kebaikan termasuk kerjasama politik antara pemimpin Islam dan bukan Islam.

Contohnya juga mudah, kalau Rasulullah s.a.w membuat kerjasama politik dengan tiga puak Yahudi, adakah suatu kesalahan Pas melakukan sunnah haraki yang sama dengan kerjasama dengan DAP dan PKR?

Kerjasama dengan pemimpin-pemimpin Islam di dalam Umno bermakna akan memanjangkan kezaliman Umno/BN di dalam negara.

Kerjasama dengan pemimpin-pemimpin Islam di dalam Umno bermakna akan menolak maslahah, iaitu keadilan sosial untuk rakyat dan negara.

Kalau tidak menyertai demokrasi, apakah boleh memungkinkan kita mendapatkan mandat sosial?

Kalau tidak menyertai demokrasi, apakah boleh memungkinkan kita bermuafakat dengan para pemimpin bukan Islam hatta terdirinya sebuah negara Madinah al-Munawwarah yang moden lagi dinamik.

Dalam hati saya sebenarnya nak berkata, kalau tidak mengambil demokrasi sebagai alat, apakah memadai dengan jalan usrah, wacana hatta perang?

“Maka seranglah mereka sebagaimana mereka menyerang kamu…” (2:194).

Rasulullah s.a.w pernah memeterai Perjanjian Fudhul (Hilf al-Fudhul) kerana realiti masyarakat menuntut demikian supaya maslahah (keadilan) boleh ditarik dan mudharat boleh ditolak.

Rasulullah s.a.w pernah memeterai Sahifah Madinah pun atas realiti yang lain, tetapi masih berhimpun pada maqasid mengambil maslahah dan menolak mudharat.

Begitu juga, siri-siri peperangan yang terlangsung pada zaman Rasulullah sendiripun sebenarnya disebabkan realitinya yang tersendiri, iaitu menolak mudharat yang lebih besar (hifz ad-Din).

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu mengukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu, (Sesungguhnya) Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (2:216)

Apa yang nak saya tuntaskan di sini, kebijakkan politik dakwah oleh Rasulullah sebenarnya terikat pada realiti – sama ada masa atau tempat.

Inilah yang disebut-sebut sekarang sebagai al-ijtihad al-tanzili.

Dengan ertikata yang lain, takkan gerakan Islam Pas wajar memperjuangkan Islam/Hudud melalui pentas peperangan serta tolak muafakat bukan Islam sedangkan realiti Malaysia menuntut perjuangan melalui sistem pilihan raya.

Lihat kembali firman Allah yang bermaksud, “Maka seranglah mereka sebagaimana mereka menyerang kamu…” (2:194)

Ustaz yang menemani Dr. Muhammad kemudiannya mempersoal al-ijtihad al-tanzili Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mencalonkan Datuk Paduka Ibrahim Ali sebagai calon Bebas di Pasir Mas.

Ibrahim katanya, bertindak menentang Pas yang kononnya tidak menjaga kepentingan Melayu serta ‘barua’ pemimpin non-Muslim DAP dan PKR.

“Waktu Ibrahim dicalonkan, beliau menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas atau menentang kezaliman Umno,” soal saya.

Kata Ustaz, “Saya dah memang agak dia (Ibrahim) ini masih Umno, macam PKR yang asalnya Umno.”

“‘Agak-agak’ ini sebenarnya dzon (sangkaan), tak kuat untuk tolak (al-ijtihad al-tanzili) Nik Aziz,” ujar saya.

Sebelum wacana itu ditangguhkan, Ustaz Wanji sekali lagi bertanya pendirian HT berhubung penyertaan Pas dalam pilihan raya serta menyekat kezaliman Umno.

Dari raut wajah Dr. Mohammad, saya nampak beliau mengangguk, isyarat menyokong calon-calon Pas pada pilihan raya umum depan.

Dalam hati, saya merafak rasa syukur.

Saya mencadangkan wacana seterusnya wajar menumpu pada soal ’7 syarat yang membolehkan pilihan raya disokong oleh orang-orang Islam’ seperti yang dipopularkan oleh kaum HT di kampus dan di tanah air ini.

Saya turut menyuarakan rasa kurang berminat dengan komentar-komentar runcit oleh segelintir Facebooker yang memperlekeh fikrah perjuangan Islam yang dipopularkan oleh Pas di tanah air.

Dr. Muhammad dan Ustaz terbabit bersetuju dengan cadangan saya itu.

Malah, mereka menjemput saya dan Ustaz Wanji untuk berwacana secara lebih serius dalam usrah-usrah Hizbiyin mereka.

Saya bersetuju. Sebagai seorang Muslim yang percaya bahawa keadilan Islam tetap boleh memancar dalam kabus-kabus pagi demokrasi, saya sangat kagum dengan keterbukaan Dr. Muhammad dan Ustaz yang menemaninya itu.

HT bertuah kerana mempunyai pemimpin terbuka seperti mereka berdua dalam negara redup-redup demokrasi yang sedang dipulihara Pas dan Pakatan Rakyat ini.

Semoga keterbukaan sebeginilah yang boleh mendamaikan gerakan-gerakan Islam di Malaysia. Wallahu ‘alam.

KE ARAH FIKRAH DAMAI, TOLAK KEZALIMAN UMNO

Zainulfaqar Yaacob

Damansara Utama | 6.19 pagi

Share:
  • Facebook
  • Twitter