Minat ‘Gen-Y’ dan liberalisasi politik Malaysia…

Oleh: Zainulfaqar Yaacob*

PENDAPAT | Dunia serba korporat dewasa ini yang menggalak persaingan pasaran secara implisitnya mengajar kita untuk memilih yang terbaik.

Kalau saya tidak berminat dengan perkhidmatan broadband Maxis, saya boleh memilih Celcom Axiata atau Digi atau P1Max dan sebagainya kerana dunia perhubungan maya sekarang kian demokratik, liberal lagi relatif.

Berbeza dengan 15 tahun yang lalu, negara hanya mempunyai Telekom (kini dikenali sebagai TM).

Lanskap politik Malaysia hari ini pun sebenarnya tidak statik kerana masih memberi pilihan kepada saya untuk menyertai PKR atau DAP, walaupun saya hakikinya adalah ahli PAS berdaftar.

Saya tidak akan menyeberang masuk ke parti korup seperti Umno kerana saya juga seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain; yang percaya Umno tidak akan dipulihkan bahkan akan tumbang pada pilihan raya umum ke-13 nanti atau satu lagi pilihan raya umum.

Pun begitu, saya tidak berfikir yang PAS akan selama-lamanya menjadi pilihan terbaik saya kerana selepas tumbangnya Umno, demokrasi dijangka kian pulih.

Untu lebih jelas, iklim demokrasi tanah air ketika itu mungkin seperti iklim demokrasi Indonesia pasca tumbangnya rejim Suharto sekarang, di mana parti-parti baru akan tumbuh bak cendawan selepas turunnya disebabkan tuntutan perubahan.

PPP dan PDI mungkin dianggap ‘Old School’ kerana sudah ada parti yang lebih demokratik iaitu PKS – dipimpin oleh orang muda yang rasional, agamawan profesional, kreatif, dinamik serta memenuhi citarasa ‘Gen-Y’ di Indonesia.

Di Malaysian pun sebenarnya berlaku perubahan minat serta cara berfikir di kalangan ‘Gen-Y’. Saya melihat kecenderungan minat orang muda umumnua lebih menumpu pada PKR, berbanding PAS.

Peluang memimpin parti seperti yang diruangkan kepada Nurul Izzah Anwar ke kerusi Timbalan Presiden walaupun beliau hanya bertanding di kerusi Naib sudah tentunya memberi isyarat bahawa kepemimpinan parti massa depan itu tidak mengenal usia; tetapi lebih menghargai kebijakan ajaib serta bakat kekemimpinan ‘Gen-Y’ Malaysia.

“Buat apa saya sertai PAS kalau kebijakan saya terus dikongkong oleh pemimpin ‘Old School’ seperti Nasruddin Tantawi, (Datuk) Harun Din, Ustaz Harun Taib dan (Tuan Guru) Abdul Hadi (Awang) sendiri,” kata seorang mahasiswa kejuruteraan dari Universiti Petronas kepada saya sambil menyuarakan rasa setuju dengan tindakan bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa ‘Dinasor Politik’ yang lain supaya ‘bersara’ dari dunia politik kepartian.

Menurut beliau, lebih baik profesional muda menyertai ‘pelantar-pelantar politik’ yang lain sementara menunggu tumbangnya Umno BN kerana ‘pelantar-pelantar tersebut’ dijangka akan berubah wajah menjadi parti politik yang baru untuk Malaysia.

“Kalau orang-orang seperti Shaari Sungib (Abu ‘Urwah, bekas Presiden JiM) serta ‘The Legendary of Abu Iman’ (Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS di Kuala Selangor) tidak diberi peluang yang sihat untuk meniupkan perubahan paradigma di dalam PAS, apakah kami boleh buat lebih (baik) dari itu,” soal beliau sambil mengaku bahawa beliau direkrut serta ditarbiah oleh sebuah badan berdaftar, Pertubuhan Ikram Malaysia (iKRAM).

Menurut beliau, seorang peserta pada suatu kolokium lepas, telah bangkit lalu bertanya kepada Presiden iKRAM, “apakah status iKRAM ini adalah sebuah NGO (badan bukan kerajaan) atau sebuah syarikat korporat?”

“Awak lebih tahu kerana kita (iKRAM) boleh jadi segala-galanya seluas perkara yang diharuskan di sisi Islam,” jawab Presiden iKRAM tersebut.

Mendengar cerita itu, dalam hati saya pun terdetik bahawa iKRAM akan menjadi sebuah pertubuhan politik kepartian tidak lama lagi, selepas tumbangnya rejim Umno dengan menawarkan sesuatu iklim ‘Ekoposial’ (Ekonomi, Politik dan Sosial) yang lebih segar untuk ‘Gen-Y’ Malaysia.

Berpijak pada kepercayaan ini, semua pihak merentasi parti perlu digembling untuk tidak mengambil sikap bermusuhan dengan inisiatif-inisiatif perubahan yang diperjuangkan oleh oposisi dalam menumbangkan Umno BN pada PRU13 kerana dengan demikian membawa kita pada perubahan lanskap demokrasi Malaysia ini.

Waktu itu, kalau saya mahu memilih yang terbaik, saya tidak akan memilih PAS kerana sekarang pun saya tidak lagi menjadi pengguna Maxis sebab Celcom lebih mesra pengguna. -END

—————
Penulis adalah jurnalis muda dari The Malaysian Insider yang penulisannya boleh diakses di blog instinctive-stage G3.0, http://zainulfaqar.blog.com